Kerusi ala dadu rekaan unik

Oleh Amri HTZ

Untuk kekal aktif, menggunakan masa terluang hujung minggu mereka perhiasan rumah sendiri juga memberi kesan positif selain melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.

Projek yang dibuat juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan selain mendidik mereka untuk mengamalkan prinsip 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula dalam usaha memelihara alam sekitar. Antara yang boleh dibuat ialah kerusi dadu.

Sedia barangan penting

Persediaan perlu dilakukan agar projek tidak tergendala mahupun terhenti ketika menjalankannya dengan menyediakan tukul, claw bar, habuk kayu atau wood filler, gam kayu, paku atau skru, cat hitam dan putih, berus cat dan kompas atau bekas berbentuk bulat (nombor dadu) untuk mereka kerusi berbentuk dadu.

Guna barangan terpakai

Pada langkah pertama pembuatan, kayu palet yang telah disediakan perlu ditanggalkan terlebih dahulu menggunakan tukul dan claw bar.

Proses menanggalkan struktur palet ini memerlukan teknik yang tepat agar ketika ia dilakukan, risiko kayu terbelah atau patah dapat dielakkan. Tumpukan perhatian pada kedua-dua bahagian hujung papan dengan menuil menggunakan claw bar. Setelah papan terasing daripada rangka utama, masukkan semula papan dengan menukulnya sedikit sekali gus akan menjadikan kepala paku sedikit terkeluar. Apabila langkah ini telah dicapai, keluarkan paku dengan mengungkil menggunakan belakang tukul.

Antara barangan yang diperlukan dalam projek rekaan kali ini.
Proses menanggalkan kayu daripada palet terpakai.
Proses mengecat permukaan kayu mengikut warna yang diminati.
Teknik mencantumkan kepingan papan menjadi satu bahagian.

Semasa menanggalkan papan-papan daripada struktur palet, mungkin awda akan berdepan dengan masalah paku yang tidak dapat dikeluarkan. Pada kebiasaannya, ketika hal ini terjadi, paku masih kukuh pada permukaan kayu (rangka asas) dan kadangkala memberi kesan kepada papan yang diungkil sama ada terbelah atau patah.

Untuk menyelesaikan masalah ini, bahagian hujung kayu yang sukar diungkil hanya perlu dipotongkan yang mungkin hanya akan meninggalkan papan berkepanjangan lebih kurang 20” yang dapat di-selamatkan. Bagi projek ini, ia sudah memadai untuk mereka kerusi unik tersebut.

Apabila telah berjaya menanggalkan kepingan papan daripada struktur palet tersebut, bersihkan permukaan papan daripada sebarang paku atau stapler.

Ini bagi memastikan peralatan memotong yang digunakan tidak rosak apabila terkena padanya. Potongan kepingan papan tersebut dengan panjang 36sm untuk 20 batang, 42sm (lapan batang) dan 48sm (lapan batang).

Ukuran yang diberikan di sini adalah mengikut ukuran papan yang terdapat pada palet tersebut di mana lebar asal papan adalah 12sm dengan ketebalan 1.5sm. Jika ukuran papan yang digunakan berbeza daripada yang dimiliki, ia memerlukan awda untuk membuat penyesuaian dengan memastikan besar keseluruhan struktur kerusi yang akan direka lebih kurang 36sm x 39sm x 48sm.

Bagi mencantumkan papan-papan yang telah dipotongkan tersebut, teknik melantakkan dua keping papan pada bahagian belakang akan digunakan untuk mempermudah dan mempercepatkan proses rekaan.

Langkah ini merupakan pilihan individu di mana mereka yang mahukan cantuman yang cukup kemas dan rata, mencantumkan sudut sisi papan menggunakan gam kayu dan pengepit kayu adalah pilihan terbaik. Namun keseluruhan permukaan papan perlu terlebih dahulu diratakan menggunakan ketam agar ia seimbang.

Kedua-dua cara mencantumkan kepingan papan mempunyai hasil akhir yang berlainan. Melalui cantuman menggunakan papan pada bahagian belakang, ia lebih sesuai dengan ruangan yang bertemakan ‘rustic’.

Manakala untuk cantuman menggunakan gam dan pengepit kayu, ia lebih menyerupai kerja seorang profesional selain sesuai dengan ruangan bertemakan elegan.

Mula-mula susun empat keping papan (berbaring) dengan kepanjangan 36sm dan kemudian cantumkan dengan cara melantakkan dua keping papan (40sm) pada bahagian belakang di kedua-dua bahagian hujung.

Dua bahagian diperlukan menggunakan kayu yang sama dalam langkah ini.

Sementara lebihan kayu 36sm juga akan melalui cara mencantumkan yang sama cuma pada kali ini kedua-dua keping papan untuk mencantumkannya akan diberikan ruangan daripada bahagian hujung kayu lebih kurang 2sm.

Ini adalah bagi memberi ruangan untuk ia dicantumkan nanti. Papan-papan yang dicantumkan ini nanti akan dijadikan keempat-empat bahagian sisi kerusi.

Langkah seterusnya adalah mencantumkan papan berukuran 42sm untuk bahagian atas dan bawah kerusi. Untuk mencantumkannya, papan 36sm diperlu dilantakkan pada bahagian belakangnya sama seperti langkah sebelumnya. Jarak 1.5sm hingga 2sm juga diperlukan untuk memberikan ruangan untuk bahagian kayu lain di bahagian belakangnya nanti.

Bagi mencantumkan keseluruhan struktur kerusi, mulakan dengan mendirikan (bertentangan) dua bahagian sisi papan berukuran 36sm tadi dengan bahagian papan belakang (yang mencantumkan) tidak diberikan ruangan daripada bahagian hujung.

Ini diikuti dengan papan dengan bahagian struktur yang sama tetapi dengan bahagian belakang yang diberikan ruangan (papan mencantumkan keseluruhan kepingan papan). Gunakan skru atau paku untuk mengekalkan kedudukan selain menyapukan gam kayu pada permukaan cantuman.

Setelah terhasil bentuk kotak, langkah seterunya memerlukan awda mencantumkan bahagian atas dan bawah struktur kerusi. Lakukan langkah sama dengan menyapukan gam kayu pada permukaan cantuman sebelum mengekalkannya menggunakan skru.

Untuk langkah seterusnya ialah mewarnakan keseluruhan permukaan kayu menggunakan cat.

Memandangkan projek ini menghasilkan dua struktur kerusi berbentuk dadu, salah satu struktur akan diwarnakan dengan warna putih dan satu lagi hitam. Setelah cat mengering, langkah melakar bentuk bulatan mewakili nombor dadu pada permukaan kayu menggunakan kompas atau gelas bolehlah dilakukan.

Langkah terakhir adalah mewarnakan lakaran bentuk bulatan yang direka. Jika struktur kerusi diwarnakan keseluruhannya dengan warna hitam, nombor pada permukaannya perlulah diwarnakan dengan warna yang berlainan daripadanya untuk menyerlahkannya.

Setelah menempatkannya di ruangan yang bersesuaian, mengongsi cerita di sebalik projek pembinaannya setentunya memberikan inspirasi kepada mereka yang berminat untuk merekanya!