Kes 138 masih disiasat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Kementerian Kesihatan masih menyiasat sama ada kes 138 yang baru disahkan positif pada awal pagi tadi, pernah keluar rumah atau tidak memandangkan tempoh kuarantinnya sudah tamat.

“Kementerian Kesihatan membuat pengesanan kontak sama ada beliau pernah pergi ke mana-mana, namun setakat ini, didapati hubungan kontak kes tersebut adalah daripada majikannya, kes 33,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjelaskan lebih lanjut mengenai status kes terbaharu itu semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, kes 138 bekerja di rumah, sehubungan itu, semua kontak di dalam rumah telah disahkan negatif. “Kementerian Kesihatan hanya tinggal memastikan sahaja lagi sama ada kes 138 tersebut pernah keluar rumah, bila dan ke mana beliau pergi,” katanya.

Menurut Yang Berhormat Dato, kes 138 telah diperiksa apabila majikannya didapati positif dan keputusannya negatif. Kesemua di dalam rumah tersebut telah pun dikuarantin, namun selepas 11 hari, majikannya diperiksa sekali lagi, begitu juga ahli keluarga yang lain dan mendapati seorang positif (kes 138).

“Walau bagaimanapun, penularannya adalah sangat rendah, jika dikategorikan, ia tergolong dalam tahap sangat ringan,” tambah Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menjelaskan kes 138 yang baru disahkan positif pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19.

“Kami hampir pasti ia tidak berjangkit, tetapi kami tidak 100 peratus pasti, oleh yang demikian kami memerlukan penyiasatan lanjut terutamanya pengesanan kontak. Virus dapat dikesan namun ia sangat ringan dan kemungkinan besar virus yang mati atau tidak berjangkit.Kami masih memantau perkara itu dan berharap kami dapat belajar dari negara-negara serantau dan di luar untuk melihat bagaimana mereka menangani kes relaps ini,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau turut menekankan bahawa orang ramai tidak perlu khuatir mengenainya kerana ia masih di bawah radar (dapat dipantau) dan kesemua pesakit memberikan kerjasama yang baik apabila masih menghubungi Kementerian Kesihatan mengenai simptom-simptom meskipun tempoh kuarantin 14 hari tamat.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsi bahawa bermula beberapa hari lepas, orang yang dikuarantin di rumah telah pun diberikan gelang bagi memastikan mereka sentiasa berada di rumah.

“Jika gelang ini dibuka, ia akan memberi isyarat kepada polis kerana gelang ini adalah di bawah pemantauan polis,” kongsi Yang Berhormat Dato Dr. Haji Mohammad Isham.