Kes 141 masih giat dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Seramai 114 orang kontak bagi kes 139, 140 dan 141 telah menjalani ujian SARS-COV-2 dan kesemuanya telah disahkan negatif.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada di Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, setakat ini hasil penyiasatan kes belum mengenal pasti punca jangkitan, walau bagaimanapun penyiasatan mendapati bahawa kemungkinan besar kes 141 ialah yang pertama mempunyai tanda-tanda jangkitan dan telah menjangkiti kes 139 dan 140.

“Kementerian Kesihatan masih giat menjalankan penyiasatan lanjut untuk mengenal pasti punca jangkitan pada masa ini,” katanya lagi.

Semasa sesi soal jawab mengenai cabaran yang dihadapi semasa pengesanan kontak terhadap kes berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa buat masa ini, mereka masih mencari memandangkan kesemua pengesanan kontaknya negatif.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika menjelaskan mengenai pengesanan kontak bagi kes 139, 140 dan 141 yang sedang giat dijalankan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.

“Mereka (kes 139, 140, 141) juga ada membuat perjumpaan sosial pada 2 Mac dan kesemua kontak di sana (perjumpaan sosial) juga negatif.

“Setakat ini, perjumpaan sosial tersebut termasuk tukang gunting rambut salah seorang pesakit, serta rakan-rakannya yang lain semua membuktikan bahawa mereka adalah negatif,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Kami masih mencari kemungkinan (possibility) pada perkara lain, oleh yang demikian ini masih dalam penyiasatan,” tambahnya lagi.

Mengulas kemungkinan industri makanan dan minuman mengambil langkah tambahan berjaga-jaga berikutan dengan situasi COVID-19 pada masa ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan kesemua cef secara umumnya sepatutnya mematuhi segala peraturan yang disediakan sebagai cef termasuk menggunakan topi, apron, dan sebagainya.

“Terutama pada masa ini (situasi COVID-19), mereka patut diwajibkan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung,” jelas beliau.