Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kes aktif Covid hampir 40,000

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Sebanyak 10 kes COVID kini berada dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi manakala sembilan lagi dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku wakil Menteri Kesihatan pada sidang media jangkitan terkini koronavirus di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    “Sebanyak 4,215 kes baru telah dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 80,749 orang,” kata Yang Berhormat Dato.

    Daripada jumlah kes baharu itu, menurutnya, 3,399 adalah hasil ujian ART yang telah dimuatnaikkan ke aplikasi BruHealth manakala 816 adalah daripada hasil 5,147 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam lalu.

    “Sementara itu, 2,395 kes telah disahkan sembuh membawa jumlah keseluruhan sembuh kepada 43,177 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 37,437 kes,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Menurutnya, kadar penggunaan katil ialah sebanyak 11.1 peratus di mana 341 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan. Sejumlah 37,096 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Manakala bagi program vaksinasi setakat kelmarin, 58.8 peratus menerima dos ketiga dan dos pertama serta kedua masing-masing melebihi 94 peratus.

    Beliau turut menyeru orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT semoga Brunei sentiasa dipelihara dan dilindungi dari segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit khususnya penyakit COVID.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa berucap pada sidang media kelmarin. Turut hadir Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan. – Gambar oleh James Kon
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...