Kes aktif turun kepada 753

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 57 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,962 orang.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, terdapat 19 tambahan kes baharu kepada lapan kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 21 kes.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh James Kon

“Kedua-dua kluster baharu ini iaitu Kluster Soon Lee Mentiri staff house dan Kluster LSL Lugu staff house adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Manakala itu, enam kluster telah diisytiharkan tamat setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster Subok Ops, Kluster Kamal Sdn Bhd, Kluster 4490, Kluster 5621, Kluster 7894 dan Kluster 8660, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 172 kluster.

Manakala itu, terdapat 17 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Beliau turut memaklumkan bahawa 106 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 13,114 kes dengan 753 kes aktif.

Dalam kalangan kes-kes yang dalam rawatan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa tujuh kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, dua kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,326 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 544,282 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kepada orang ramai untuk bersama-sama menyahut saranan pihak kerajaan dan mematuhi segala nasihat dan arahan yang telah dikeluarkan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 pada masa ini.

“Semoga Allah SWT merahmati dan mempermudahkan segala usaha kitani semua dan mudah-mudahan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berada dalam lindungan
dan rahmatNya jua,” Yang Berhormat Menteri Kesihatan mendoakan.