Kes Altantuya didengar 20 April

PUTRAJAYA, 17 DIS – Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri terhadap sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azniza Mohd Ali menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapannya di dalam kamar.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun dan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memberitahu media mahkamah memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk memfailkan afidavit dan afidavit balasan kepada permohonan itu sebelum pendengaran pada 20 April. – Bernama