WASHINGTON, 27 OKT – Perbicaraan kes antipersaingan yang difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) terhadap Google akan diadakan pada Jumaat, umum Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Amit Mehta semalam, lapor agensi berita Xinhua.
Hakim Mahkamah Daerah Columbia itu berkata peguam DOJ dan Google perlu hadir pada perbicaraan yang dibuat menerusi telefon pada 10 pagi EDT dan orang ramai serta pihak media boleh mengikuti perbicaraan itu.
Pada 20 Oktober, DOJ memfailkan saman antipersaingan terhadap Google kerana secara tidak sah ‘mengekalkan monopoli dalam perkhidmatan pasaran carian dan carian iklan’.
Sejak bertahun-tahun, Google yang dimiliki Alphabet Inc. menguasai hampir 90 peratus carian di Amerika dan ‘menggunakan taktik antipersaingan untuk mengekalkan dan mengukuhkan monopolinya dalam aplikasi carian dan carian iklan’.
Sementara itu, Google dilaporkan berkata saman itu ‘amat cacat’ dan berhujah, orang ramai menggunakan Google sebab mereka yang memilih, bukan disebabkan mereka dipaksa atau disebabkan mereka tiada pilihan lain. – Bernama