Kes baharu di M’sia melonjak kepada 21 kes

KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Selepas mencatat hanya satu kes semalam, angka positif COVID-19 di Malaysia melonjak kepada 21 kes hari ini dengan 15 daripadanya kes import melibatkan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kes lagi merupakan penularan tempatan melibatkan warganegara dengan tiga daripadanya ialah Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

“Sementara tiga kes lagi melibatkan dua kes di Sabah iaitu masing-masing kes saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth dan satu saringan praprosedur di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah serta satu kes saringan prapembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” menurutnya dalam kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau juga berkata kes positif COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 9,023 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 196.

Terdapat 18 kes pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 8,702 atau 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya. – Bernama

Orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan dengan memakai penutup mulut dan hidung bagi mencegah penularan COVID-19, di sekitar Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama