Kes baharu jangkitan COVID-19 turut libatkan kanak-kanak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Sebagaimana yang diketahui dalam beberapa hari ini, kes-kes baharu yang dicatatkan di negara ini telah menunjukkan penurunan dan dalam keadaan rendah serta terkawal.

Namun banyak juga kes-kes baharu yang didapati dari rumah persendirian yang turut melibatkan kanak-kanak, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, kanak-kanak yang terbabit adalah dalam keadaan yang baik dan tidak perlu dimasukkan di hospital di mana 11 orang daripadanya ditempatkan di Pusat Pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Temburong dan 19 orang lainnya di Pusat Pengasingan, Mahad Islam Brunei, Tutong.

Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang telah melengkapi dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan dibenarkan untuk memasuki premis-premis perniagaan yang memerlukan pengunjung untuk melengkapi dua dos suntikan vaksin.