Kes baharu kembali ke tiga angka

PUTRAJAYA, 27 OKT – Kes baharu COVID-19 hari ini kembali ke tiga angka dengan 835 kes berbanding 1,240 semalam, sementara 674 kes pulih dan dua lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 28,640, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 9,903 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 835 kes baharu pada hari ini, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan satu warganegara dan empat bukan warganegara yang tiba dari India (2 kes), Indonesia, Thailand dan Bulgaria.

“Sukacita dimaklumkan pada hari ini, negeri Sabah mencatatkan penurunan jumlah kes baharu sebanyak 517 kes (55.8 peratus) iaitu daripada 927 kes kepada 410 kes,” katanya pada sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Sehingga kini katanya, terdapat 89 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama