Kes baharu melonjak kembali

KUALA LUMPUR, 28 JULAI – Sehari selepas jumlah kes baharu positif COVID-19 mencatat satu angka, jumlah hari ini kembali melonjak kepada dua angka melibatkan 39 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,943 kes dan bila-ngan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 212 kes.

“Daripada 39 kes baharu dilaporkan, 11 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara dan tujuh bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan media berhubung perkembangan COVID-19, hari ini. Beliau menjelaskan 11 kes import itu dari Arab Saudi (satu kes di Sabah); Ireland (satu kes di Kuala Lumpur); Korea Selatan (dua kes: satu kes di Sarawak, satu kes di Kuala Lumpur); India (satu kes di Kedah); Rusia (satu kes di Kuala Lumpur); Amerika Syarikat (satu kes di Kuala Lumpur); Amerika Selatan (satu kes di Sarawak); United Kingdom (dua kes di Sarawak); dan Filipina (satu kes di Labuan).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada 28 kes penularan tempatan, 22 kes melibatkan warganegara dan enam kes dalam kalangan bukan warganegara.

Beliau berkata sebanyak 19 kes dicatat di Sarawak iaitu daripada Kluster Sentosa (tujuh kes); Kluster Kejuruteraan Kuching (empat kes); Kluster Satok (empat kes); Kluster Mambong (satu kes); Kluster PUI Melbourne (satu kes); satu kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang serta satu kes saringan kendiri.

Dr Noor Hisham berkata kedua-dua kes saringan pemantauan dan saringan kendiri tidak bergejala serta telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. – Bernama

Gambar fail pada 24 Julai lalu menunjukkan orang ramai dengan memakai penutup mulut dan hidung ketika melawat Menara Kuala Lumpur. Sehari selepas jumlah kes baharu positif COVID-19 mencatat satu angka, jumlah jangkitan di Malaysia kembali melonjak kepada dua angka melibatkan 39 kes. – Bernama