Kes baharu M’sia melonjak kepada 62

KUALA LUMPUR, 7 SEPT – Kes baharu COVID-19 melonjak daripada enam kes semalam kepada 62 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 62 kes baharu itu, 56 merupakan penularan tempatan melibatkan 30 warganegara dan 26 bukan warganegara manakala kes import enam sahaja.

Menghurai lanjut mengenai 56 kes penularan tempatan, beliau berkata 50 kes merupakan kluster Benteng LD dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Selain itu empat kes penularan tempatan berlaku di Kedah membabitkan kluster Sungai (dua kes), saringan kluster Telaga (satu kes); dan saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar (satu kes) serta satu lagi kes dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif ke-9397.

Perkembangan terbaharu itu men-jadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,459 kes dengan kes aktif terkini adalah 207, katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini. – Bernama