Kes buang sampah di tempat awam, dua syarikat didenda kompaun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Dua buah syarikat telah dikeluarkan denda kompaun sebanyak $200 masing-masing kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30, Bab 12 (1)(a), Bab 12 (1)(b).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), sebuah syarikat telah mengaku meninggalkan bekas sampah sarap barang perniagaan di Kampung Serusop dan sebuah syarikat lagi atas kesalahan meninggalkan kotak-kotak perniagaan dan bekas plastik buah-buahan di Kampung Beribi.

Kenyataan menyatakan bahawa dalam kes berkenaan, syarikat-syarikat itu diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda kompaun ke Bahagian Kewangan, JBBSB, dan jika gagal membayarnya, kes berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah, di mana boleh dikenakan hukuman denda $1,000 bagi kesalahan pertama dan dengan $3,000 serta penjara tidak melebihi tiga bulan bagi kesalahan seterusnya.

BPU, JBBSB dalam kenyataan itu mengingatkan orang ramai dan mana-mana syarikat supaya tidak membuang sampah di tempat-tempat awam mahupun tanah-tanah lapang dengan niat memasuki dan membuang sampah tanpa kebenaran yang sah.

Di samping itu, mana-mana syarikat, individu ataupun pihak pengurusan atau pemilik bangunan disarankan untuk menanai tanggungjawab dalam memberikan kerjasama supaya tiada sebarang longgokan sampah selepas sebarang kerja-kerja pengubahsuaian dilaksanakan serta memastikan kawasan laluan awam sentiasa dalam keadaan bersih dan boleh diakses dengan selamat dengan membuat lingkungan khas dengan tanda-tanda keselamatan seperti Work in Progress dan mendapatkan kelulusan pihak autoriti yang berwajib bagi sebarang kerja-kerja pembinaan dan ubahsuai terlebih dahulu.

ATAS & BAWAH: Bekas sampah sarap barang perniagaan yang ditinggalkan secara sembarangan di tempat awam. – Gambar serahan JBBSB