Kes bunuh anak damit ditangguh

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Mahkamah Majistret semalam menangguhkan kes pembunuhan anak damit hingga 20 September untuk analisis DNA.

Pendakwa semalam menghadapkan pertuduhan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun di Mahkamah Majistret, atas dakwaan membunuh yang melibatkan kematian seorang anak damit perempuan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah binti Abdul Rahman mengemukakan pertuduhan yang mendakwa Muhamad Aisamuddin bin Haji Tajudin telah membunuh anak damit berusia 10 bulan dalam sebuah bilik tidur di sebuah kediaman di Daerah Temburong, antara 21 dan 22 Ogos lalu.

Pertuduhan tersebut boleh membawa hukuman mati.

Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengetuai kes tersebut.