HONG KONG, 14 Jan – Seorang lelaki warga asing telah ditahan kerana disyaki membunuh seorang wanita dan seorang budak lelaki hari ini di hotel mewah Ritz-Carlton di dermaga Hong Kong, kata polis.
Pegawai bergegas ke hotel setelah menerima satu laporan pada pagi ini mengatakan seorang lelaki dan seorang wanita sedang bertengkar.
Wanita itu dan seorang budak lelaki ditemui mati di tempat kejaian dan lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki membunuh dan dihantar ke sebuah hospital.
Polis tidak mengesahkan hubungan di antara ketiga-tiga orang tetapi memberitahu AFP mereka semua adalah warga asing.
Menurut laman berita tempatan Apple Daily, pasangan itu, dalam umur 40an, dan anak lelaki mereka yang berusia tujuh tahun adalah warga Korea dan telah mendaftar masuk ke hotel lima bintang itu beberapa hari lalu.
Seorang jurucakap dari Ritz-Carlton tidak menjawab pertanyaan daripada AFP.
Hotel mewah itu terletak di tingkat atas bangunan pencakar langit tertinggi di Hong Kong, ICC, dan terkenal dengan pemandangan bandar dan Pelabuhan Victoria yang panoramik.
“Ingatan kami adalah bersama keluarga penginap yang terbabit pada masa yang sukar ini,” beritahu jurucakap Ritz-Carlton di Hong Kong kepada AFP, namun enggan memberi komen lanjut kerana siasatan sedang dilancarkan. – AFP