Kes bunuh wartawan, dua letak jawatan

VALETTA, 27 NOV – Dua ahli politik meletakkan jawatan dalam kerajaan Malta manakala seorang lagi mengumumkan gantung tugasnya susulan siasatan yang dilakukan terhadap pembunuhan kejam wartawan penyiasatan, Daphne Caruana Galizia.

AFP melaporkan bahawa mereka yang meletak jawatan ialah Keith Schembri iaitu ketua turus kepada Perdana Menteri, Joseph Muscat dan Menteri Pelancongan, Konrad Mizzi.

Ia memberi tekanan kepada kerajaan mengenai cara mereka mengendalikan kes Daphne yang terbunuh selepas keretanya diletupkan pada tahun 2017.

Menurut sumber, Schembri dipanggil polis untuk disoal siasat selepas suspek utama kes terbabit yang juga ahli perniagaan, Yorgen Fenech mengkaitkan dirinya.

Daphne adalah wartawan dan penulis blog yang digelar sebagai ‘wanita WiKiLeaks’ sering mendedahkan kegiatan rasuah membabitkan ahli politik dan ahli perniagaan elit di negara itu.

Dia mendakwa Schembri dan Mizzi terbabit dalam kes rasuah yang dinafikan oleh kedua-dua individu berkenaan. – AFP