Kes cabul pegawai beruniform ditangguhkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Seorang pegawai dalam pasukan beruniform yang didakwa atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan diwakili peguamnya di Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini.

Mohammad Asminan bin Tambil, 33, kini diwakili Peguam Bela Mansur Latif bagi menghadapi tiga pertuduhan serangan seksual terhadap seorang perempuan di bawah umur yang lahir pada 2011.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama pada 2018 di Gadong, kedua di sebuah flat di Jalan Dobi Berakas Kem pada 2019 dan ketiga di flat yang sama pada Mei lalu.

Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni menangguhkan kes hingga 29 Julai bagi memberi masa kepada pihak pembelaan meneliti kes tersebut.

Pendakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah binti Ahmad boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun berserta sebatan.