BRAZZAVILLE, 29 APRIL – Afrika berdepan ledakan penyakit yang boleh dicegah akibat kelewatan memberi vaksin kepada kanak-kanak, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis, dengan kes demam campak melonjak 400 peratus.
Dua puluh negara Afrika melaporkan wabak demam campak pada suku pertama tahun ini, tambahan lapan negara berbanding tiga bulan pertama 2021.
Wilayah Afrika merekodkan hampir 17,500 kes virus yang sangat menular antara Januari dan Mac.
WHO dan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNICEF mengumumkan di Geneva pada Rabu bahawa kes demam campak melonjak hampir 80 peratus di seluruh dunia tahun ini, memberi amaran bahawa peningkatan penyakit itu menunjukkan wabak penyakit lain mungkin akan berlaku.
Kebanyakan wabak berlaku di Afrika dan timur Mediterranean. Biro serantau Afrika WHO berkata wabak penyakit lain yang boleh dicegah dengan vaksin juga menjadi lebih biasa di benua itu. – AFP
