Kes COVID-19 di India hampir setengah juta

NEW DELHI, 26 JUN – India kini mencatatkan hampir setengah juta kes koronavirus hari ini dengan lonjakan kes baharu sebanyak 17,296 jangkitan dalam tempoh 24 jam terakhir, sekali gus menyebabkan kelewatan penyambungan semula perkhidmatan kereta api lebih dari sebulan.

Kes baharu menjadikan jumlah jangkitan di India kepada 490,401. Kementerian kesihatan juga melaporkan 407 lagi kematian dalam tempoh 24 jam sebelumnya, menjadikan jumlah kematiannya kepada 15,301 orang.

Kementerian itu mengatakan kadar pesakit sembuh terus meningkat pada 57.43 peratus. Manakala kadar kematian dalam 100,000 orang pula adalah 1.86 peratus berbanding dengan kadar kematian global pada 6.24 peratus dalam 100,000 kes.

Jumlah sebenar jangkitan dan kematian akibat COVID-19, seperti di tempat lain di dunia, dianggap jauh lebih tinggi kerana beberapa sebab termasuk ujian yang terhad. Kereta api India dijadualkan untuk meneruskan perkhidmatannya pada 30 Jun tetapi kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menyatakan ia tidak akan beroperasi semula sepenuhnya sehingga 12 Ogos.

Perkhidmatan kereta api dihentikan sementara ketika kerajaan mengenakan perintah lockdown di seluruh negara pada akhir Mac. Kereta api khas yang menghubungkan bandar-bandar utama telah beroperasi sejak pertengahan Mei sebagai sebahagian daripada pengurangan sekatan. – AFP