Kes COVID-19 di Indonesia, S’pura terus meningkat

JAKARTA/SINGAPURA, 15 JULAI – Kes positif COVID-19 di Indonesia dan Singapura terus mencatatkan peningkatan dengan Indonesia kini mencatatkan angka jangkitan melepasi 80,000 dan Singapura pula mencatat lebih 46,000 jangkitan.

Indonesia mencatatkan tambahan kes baharu sebanyak 1,522 dalam tempoh 24 jam. Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto berkata, bagi tempoh 12 te-ngah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 87 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,797 orang.

“Jumlah kes positif kini 80,094 manakala sebanyak 24,871 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media hariannya, yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia. Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,275 kes, diikuti Jakarta (706 kes), Jawa Tengah (258), Sulawesi Selatan (251) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Singapura pula melaporkan sejumlah 249 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan majoriti masih terdiri daripada pekerja asing yang tinggal di asrama. Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) pada tengah hari ini, terdapat hanya 16 kes dalam komuniti. Kementerian itu juga menyatakan bahawa terdapat lima kes import membabitkan mereka yang diletak di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus tiba di Singapura.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu ialah 46,878 kes. Semalam, MOH melaporkan satu kesilapan dalam ujian makmal yang menyebabkan satu kes COVID-19 dilapor-kan sebagai positif sedangkan hasil sebenarnya adalah negatif.

Ia membabitkan Kes 45,655 iaitu seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Jurong West yang tidak bergejala dan telah dilaporkan sebagai kes disahkan oleh kementerian itu pada 10 Julai 2020.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 618 kes sebagai kes import, 2,069 sebagai kes komuniti dan 43,942 sebagai kes membabitkan penghuni asrama.

Kenyataan itu menyebut sejumlah 3,704 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti. – Bernama

Aktivis dilihat menggunakan pelindung muka bagi mengekang penularan koronavirus di luar bangunan parlimen di Jakarta pada 14 Julai. Kes positif COVID-19 di Indonesia dan Singapura terus mencatatkan peningkatan dengan Indonesia kini mencatatkan angka jangkitan melepasi 80,000 dan Singapura pula mencatat lebih 46,000 jangkitan. – AP