Kes COVID-19 dikesan dalam gelembung tenis

NEW YORK, 19 OGOS – Satu ujian positif koronavirus telah dikesan dalam gelembung tenis di New York, di mana Terbuka AS akan berlangsung pada hujung bulan ini, umum Kesatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) kelmarin.

Pegawai perubatan USTA, Bernard Camins mendedahkan bahawa individu yang telah dijangkiti virus tersebut ‘bukan dari kalangan pemain’ dan tidak mengalami sebarang gejala.

Penemuan tersebut dikesan selepas 1,400 ujian bagi virus tersebut dijalankan sejak 13 Ogos dalam gelembung di pusat Billie Jean King di bandar New York, tempat di mana acara ATP Cincinnati dan Terbuka AS akan diadakan.

Dr Camins berkata individu lelaki tersebut pada mulanya diuji negatif tetapi selepas ujian kedua pada dua hari kemudian mendapati dia telah disahkan positif. Dia menambah bahawa rakan sebilik individu tersebut juga telah menjalani pengasingan diri.

“Ia pasti menjadi sesuatu yang lebih baik jika dia didapati positif pada ujian pertama. Tetapi sebab-sebab kami menambah ujian kedua selepas 48 jam adalah untuk mengganti masa yang tidak dapat kami lakukan,” kata Dr Camins.

Terbuka AS yang dijadualkan bermula pada 31 Ogos telah dilanda oleh pandemik COVID-19, yang telah menyebabkan pemain-pemain utama menarik diri daripada menyertai kejohanan. – AFP