Kes COVID-19 Filipina 2 juta

MANILA, 1 SEPT – Kes COVID-19 di Filipina mencecah dua juta hari ini, ketika negara itu bergelut menangani jangkitan tertinggi wabak itu akibat varian Delta dalam apa yang disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dipacu oleh varian Delta yang mudah berjangkit.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, kadar kes harian mencecah paras tertinggi sejak pandemik itu bermula, dan Jabatan Kesihatan Filipina memberi amaran trend itu mungkin berterusan.

Data rasmi setakat hari ini menunjukkan negara itu merekodkan 14,216 kes baharu, menjadikan keseluruhan kes di negara itu melebihi dua juta, dengan 33,533 kematian di negara dengan 110 juta penduduk itu.

“Kemungkinan ketika ini adalah jumlah kes COVID-19 akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang,” kata Jabatan Kesihatan itu, hari ini.

Kes harian mula mencecah lebih 22,000 jangkitan buat pertama kali pada Isnin lalu iaitu lebih dua kali ganda berbanding jumlahnya pada 6 Ogos lalu ketika Manila kembali diletakkan di bawah perintah berkurung.

Kakitangan kesihatan memakai PPE semasa membantu seorang pesakit di sebuah hospital medan COVID-19 di Manila, pada 1 September. – Xinhua

Semalam, wakil WHO di Filipina, Rabindra Abeyasinghe, berkata lonjakan terbaru itu disebabkan oleh varian Delta, yang turut menjejaskan beberapa negara jiran.

“Lebih 70 peratus jangkitan ketika ini berpunca daripada varian Delta,” katanya, yang memaklumkan keputusan jujukan genom.

Sekatan pergerakan di ibu negara itu dan beberapa wilayah berhampiran dilanjutkan sehingga minggu depan, ketika pihak berkuasa berusaha memperlahankan penularan virus berkenaan.

Abeyasinghe berkata, sekatan terbaharu itu dan kadar vaksinasi yang lebih pantas serta peningkatan kapasiti katil hospital dilihat berjaya mengelakkan kelumpuhan sistem penjagaan kesihatan Filipina.

Namun, kumpulan jururawat memaklumkan terdapat kekurangan petugas kesihatan yang serius untuk merawat peningkatan jumlah pesakit, selepas ramai yang meletak jawatan. – AFP