Kes COVID-19 global lebih 200 juta

NEW YORK, 5 OGOS – Kes COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 200 juta kelmarin, menurut data Universiti Johns Hopkins.

Sehingga 3:21 petang waktu tempatan, jumlah kes mencecah 200,014,602, dengan 4,252,873 kematian dicatatkan di seluruh dunia.

Menurut Xinhua, Amerika Syarikat merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 35,292,721 dan 614,666 kematian, menyumbang kepada hampir 18 peratus kes global dan 15 peratus kematian. India di tangga kedua dengan 31,769,132 kes diikuti Brazil 19,985,817 kes serta jumlah kematian kedua tertinggi di dunia iaitu 558,432.

Negara dengan jangkitan melebihi  empat juta kes termasuk Rusia, Perancis, Britain, Turki, Argentina, Colombia, Sepanyol, Itali dan Iran.

Sementara negara yang melebihi 100,000 kematian pula ialah India, Mexico, Peru, Rusia, Britain, Itali, Colombia, Perancis, Argentina dan Indonesia.

Jumlah kes global mencecah 100 juta pada 26 Januari, telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan. – Bernama

Seorang jururawat memberikan suntikan vaksin kepada penduduk awam di Los Angeles, California pada 3 Ogos 2021. Kes COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi 200 juta pada Rabu, menurut data Universiti Johns Hopkins.- AFP