Kes COVID-19 India lebihi 2 juta

NEW DELHI, 7 OGOS – Angka rasmi kes positif COVID-19 di India kini melangkaui dua juta selepas merekodkan pertambahan 60,000 kes hari ini.

Negara Asia Selatan itu menjadi negara ketiga yang mencecah jumlah kes sebegitu besar selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

Kadar jangkitan wabak di negara dengan jumlah penduduk kedua tertinggi di dunia itu dilihat terus meningkat, selepas merekodkan jumlah kes positif seramai sejuta orang, hanya tiga minggu lalu.

Berdasarkan perangkaan rasmi, India kini mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 sebanyak 2.03 juta dan 41,585 kematian.

Meskipun angka itu menggerunkan, ramai pakar berpendapat jumlah sebenar jangkitan adalah lebih tinggi, khususnya dalam kalangan penduduk di beberapa bandar dianggap antara yang paling sesak di negara itu.

Kerajaan India yang diterajui Perdana Menterinya, Narendra Modi, mengenakan perintah berkurung antara yang paling ketat di seluruh dunia, berkuat kuasa hujung Mac lalu. – AFP