Kes covid-19 Jepun melebihi 10,000

TOKYO, 20 APRIL – Paramedik Jepun menegaskan lebih banyak perlu dilakukan untuk mencegah koronavirus daripada melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan negara ketika ia mengesahkan kes-kes telah melebihi 10,000, meskipun perintah darurat dikenakan di seluruh negara tersebut.

Pakar-pakar merasa bimbang dengan jangkitan COVID-19 yang memuncak baru-baru ini, dengan ratusan jangkitan dikesan setiap hari.

Letusan wabak di Jepun kurang teruk berbanding negara-negara Eropah yang terjejas, namun jumlah kesnya adalah paling tinggi di Asia selepas China dan India, dan hampir sejajar dengan Korea Selatan.

Terdapat 171 kematian direkodkan setakat ini di Jepun dan 10,751 kes jangkitan, dengan negara itu sudah menjalani perintah darurat sebulan panjangnya yang pada awalnya meliputi tujuh rantau namun kini di seluruh negara itu.

Perdana Menteri Shinzo Abe telah menggesa penduduk untuk mengurangkan kontak dengan orang lain sekitar 70 ke 80 peratus, dan jumlah orang yang biasanya memenuhi sistem pengangkutan di Tokyo telah jelas menurun.

Tapak sementara bagi mengumpul sampel ujian koronavirus didirikan di sebuah lot parkir di kemudahan sukan Wad Katsushika, Tokyo pada 20 April. – AFP

Namun langkah itu tidak mencegah orang ramai untuk pergi ke luar, dan banyak kedai malah restoran kekal dibuka, walaupun persatuan perubatan memberi amaran sistem penjagaan kesihatan negara itu bergelut untuk menanganinya.

“Sistem itu berada di ambang keruntuhan di banyak tempat di Jepun,” kata Kentaro Iwata, pakar penyakit berjangkit dari Universiti Kobe yang berulang kali mengkritik respons kerajaan terhadap krisis tersebut.

Bercakap pada sidang taklimat hari ini, Iwata berkata strategi Jepun untuk mengehadkan ujian dan pengesanan kontak secara intensif berjalan lancar pada fasa awal penularan wabak itu, apabila jumlahnya masih kecil.

Namun dia mendakwa Jepun gagal untuk mengadaptasinya ketika wabak itu semakin bertambah.

“Kita perlu bersiap sedia untuk sebarang perubahan situasi, sebaik saja pencarian kluster menjadi tidak efektif dan kami perlu menukar strategi segera,” katanya.

“Namun mengikut tradisi dan sejarah, Jepun belum begitu bagus dalam perubahan strategi,” tambahnya.

“Kita sangat lemah apa lagi untuk memikirkan rancangan B, kerana memikirkan rancangan B adalah tanda kepada pengakuan kegagalan rancangan A.”

Bagaimanapun kerajaan Jepun menekankan ia telah menyesuaikan strateginya, merangsang kapasiti ujian, mengubah peraturan yang memerlukan semua kes positif untuk ditempatkan di hospital-hospital di mana wad-wad mudah penuh, dan mengenakan perintah darurat untuk mengurangkan penularan. – AFP