Kes COVID-19 kapal persiaran meningkat 355

TOKYO, 16 FEB – Angka positif koronavirus (COVID-19) dalam kalangan penumpang dan kru kapal persiaran yang dikuarantin di perairan Jepun meningkat kepada 355 orang, kata Menteri Kesihatan negara itu.

Angka terbaharu itu direkodkan ketika Amerika Syarikat (AS) sedang mempersiapkan untuk memindahkan beberapa warganya dari Diamond Princess, yang dikuarantin sejak 5 Februari di pelabuhan Yokohama, dekat Tokyo. Hong Kong juga menyatakan mereka akan menawarkan tempat kepada 330 rakyatnya dalam penerbangan khas, begitu juga Kanada mengumumkan keputusan untuk membawa keluar rakyatnya dari kapal itu.

“Setakat ini, kami telah menjalankan ujian ke atas 1,219 individu. Daripada jumlah itu, 355 orang diuji positif,” kata Menteri Kesihatan, Katsunobu Kato.

Usaha Jepun untuk mengawal jangkitan virus di atas kapal berkenaan telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Kapal persiaran itu tiba di perairan Jepun pada awal Februari membawa lebih 3,700 penumpang dan anak kapal dari lebih 50 negara dan wilayah.

Dua buah bas tiba bersebelahan kapal persiaran Diamond Princess, dengan penumpang yang dikuarantin disebabkan kebimbangan koronavirus baharu, di Terminal Daikaku, pelabuhan Yokohama kelmarin. – AFP

Ia diletakkan di bawah kuarantin selepas pihak berkuasa menemui penumpang yang turun dari bot di Hong Kong ketika pelayaran kapal itu didapati positif virus berkenaan.

Kakitangan giat mencari jangkitan baharu dalam kalangan penumpang dan anak kapal dan membawa mereka ke hospital di Jepun, manakala yang lain diarah untuk tinggal di dalam kabin masing-masing ketika tempoh kuarantin 14 hari, yang sepatutnya berakhir pada Rabu.

Jepun tidak dapat menguji kesemua mereka yang berada di atas kapal kerana kekangan bekalan kit ujian, kemudahan dan tenaga kerja yang turut diperlukan oleh pihak berkuasa bagi mengesan penyebaran virus dalam kalangan penduduk negara itu.

“Berdasarkan kes COVID-19 yang tinggi yang dikenal pasti di atas Diamond Princess, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia membuat taksiran bahawa penumpang dan anak kapal berada pada risiko pendedahan yang tinggi,” kata pihak Kedutaan AS dalam surat pemberitahuan kepada penumpang.

AS, Kanada dan Hong Kong berkata penumpang kapal yang dihantar pulang akan menjalani tempoh kuarantin dua minggu di rumah. – AFP