Kes COVID-19 kekal 141 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Negara Brunei Darussalam kekal dengan sejumlah 141 kes hari ini apabila jangkitan baharu COVID-19 terus sifar hampir 50 hari, manakala 418 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan disediakan kerajaan.

Mereka yang menjalani pengasingan mandatori ini merupakan orang-orang yang baru tiba di negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, setakat ini seramai 2,554 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

“Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 539 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 27,385 ujian,” tambahnya.

Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato mengongsi bahawa setakat ini seramai 399,288 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

“Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 10,535 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth. Manakala, berkenaan aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,695 telah dimuat turun oleh 4,192 premis perniagaan,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.