Kes COVID-19 meningkat, Laos laksana sekatan pergerakan

VIENTIANE, 20 SEPT – Laos melaksanakan sekatan pergerakan ke atas ibu negaranya, Vientiane sekali gus menyekat perjalanan rentas wilayah selepas jangkitan mencecah rekod tinggi.

Biarpun negara itu dilihat terlepas daripada cengkaman penularan wabak itu tahun lalu apabila hanya merekodkan kurang 60 kes pada Mac tahun ini – jumlah rendah itu sebahagiannya disebabkan pelaksanaan ujian terhad.

Namun peningkatan sejak pertengahan April telah menyaksikan jumlah kes meningkat dan pada Sabtu, negara itu melaporkan sebanyak 467 kes membabitkan penularan dalam komuniti, sekali gus menjadi angka jangkitan tertinggi.

Pengumuman perintah berkurung selama dua minggu yang diumumkan Datuk Bandar Vientiane mengarahkan penduduk supaya sentiasa berada di rumah kecuali bagi mendapatkan makanan, ubat-ubatan atau untuk ke hospital.

Perjalanan antara tujuh wilayah yang terkesan dengan wabak itu juga tidak dibenarkan, manakala individu yang ingin memasuki Vientiane perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Semua acara termasuk perhimpunan awam, majlis keagamaan, aktiviti sukan serta penjualan makanan di tepi jalan adalah dilarang, menurut media KPL milik kerajaan. – AFP