Kes COVID-19 Rusia cecah 1 juta

MOSCOW, 1 SEPT – Rusia mencatatkan 4,729 kes baharu COVID-19 dalam 24 jam lalu,  menjadikan jumlah keseluruhan kepada lebih sejuta, kata pusat tindakan COVID-19 negara itu dalam satu kenyataan pada hari ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan jumlah kes mencecah 1,000,048, manakala 123 kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kematian kepada 17,299. Moscow, wilayah paling teruk dilanda, melaporkan 641 kes baharu, menjadikan jumlah jangkitan kepada 263,059, kata pusat itu. Menurut kenyataan itu, 815,705 pesakit telah pulih setakat ini, termasuk 6,318 sejak sehari yang lalu.

Setakat Isnin, 211,248 pesakit masih dalam pemerhatian perubatan, sementara lebih daripada 36.9 juta ujian telah dilakukan di seluruh negara. – Bernama