Kes COVID-19 S’pura lebih 37,000

SINGAPURA, 5 JUN – Singapura dalam pengesahan awal hari ini berkata terdapat 261 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 37,183.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, data pada tengah hari menunjukkan sebahagian besar kes itu masih melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat 11 kes dalam komuniti, iaitu enam adalah rakyat Singapura atau Penduduk Tetap dan lima adalah pemegang pas kerja,” menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Daripada 11 kes itu, MOH berkata enam dikaitkan dengan kes yang disahkan sebelum ini dan satu mempunyai kaitan dengan kluster asrama manakala penyelidikan epidemik masih berterusan untuk empat lagi.

“Bilangan kes yang lebih rendah hari ini sebahagiannya disebabkan ujian swab yang dijalankan berkurangan,” menurut MOH dan menambah ia masih menyelesaikan butiran kes tersebut dan kemas kini lebih lanjut akan dimaklumkan hari ini. – Bernama