Kes COVID-19 terus meningkat di Eropah

GENEVA, 3 NOV – Jumlah kes koronavirus terus meningkat di Eropah untuk lima minggu berturut-turut, menjadikannya satu-satunya rantau di dunia di mana COVID-19 masih meningkat, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Dalam laporan mingguannya mengenai pandemik, agensi kesihatan PBB berkata kes baharu melonjak 6 peratus di Eropah berbanding dengan peningkatan 18 peratus minggu sebelumnya. Jumlah jangkitan baharu di rantau lain sama ada berkurangan atau kekal sama, menurut laporan. Penurunan terbesar dilihat di Timur Tengah, di mana kes baharu berkurangan sebanyak 12 peratus, dan di Asia Tenggara dan Afrika, di mana mereka menurun 9 peratus.

Keseluruhannya, 3 juta kes mingguan baharu dilaporkan di seluruh dunia, menurut laporan. Jumlah kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia meningkat 8 peratus, sebahagian besar disumbang oleh Asia Tenggara, di mana kematian meningkat sebanyak 50 peratus.

Kadar jangkitan koronavirus adalah tertinggi di Eropah setakat ini, yang melaporkan kira-kira 192 kes baharu setiap 100,000 orang, diikuti oleh Amerika, yang mencatat 72 kes baharu setiap 100,000 orang. Beberapa negara di Eropah Tengah dan Timur telah melihat jumlah kes harian meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Jangkitan di Republik Czech meningkat 9,902 dalam sehari, lapor Kementerian Kesihatan Czech hari ini. Ia kira-kira 60 peratus le-bih tinggi daripada seminggu sebelumnya dan peningkatan harian tertinggi sejak 23 Mac, menurut kementerian.

WHO berkata peningkatan berterusan dalam kes di seluruh Eropah telah datang dari Britain, Rusia, Turki dan Romania, menurut laporan. – AP

Penunjuk perasaan memegang sepanduk anti-vaksin semasa bantahan ke atas sekatan COVID-19 di Kyiv, Ukraine kelmarin.Jumlah kes koronavirus telah meningkat di Eropah untuk lima kelima berturut-turut, menurut laporan. – AP