Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dalam masa satu minggu kebelakangan, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan sedikit peningkatan di mana kadar purata harian kes pada minggu lepas ialah 307 kes sehari, berbanding 268 kes sehari pada minggu sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar memaklumkan perkara itu semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, sebanyak 38,978 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 5.5 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.
“Pada hari ini, tidak ada kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala satu kes berada dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” jelasnya lagi.
Sehingga kelmarin (9 Oktober), Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa kadar liputan vaksinasi COVID di neara ini kekal berada pada tahap yang tinggi dengan 78.5 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 10.6 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengumumkan, dalam masa 24 jam yang lalu, satu kes COVID-19 telah meninggal dunia di mana kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19.
Di kesempatan itu, beliau mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah.”
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa sebanyak 355 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini di mana kesemuanya adalah hasil ujian ART.
“Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT jua,” beliau mendoakan.