Kes COVID di Korea Utara disyaki lebihi 2 juta

SEOUL, 20 MEI – Korea Utara melaporkan lebih 260,000 kes baharu yang disyaki COVID hari ini, dengan jumlah kes sedemikian melebihi 2 juta, lapan hari selepas ia mula mengesan wabak virus itu, menurut agensi berita Yonhap.

Sehingga 6 petang semalam, lebih 263,370 orang menunjukkan simptom demam dan dua kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian kepada 65, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), memetik data dari ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negara itu.

Sejak akhir April, negara dengan populasi sekitar 25 juta orang itu mencatat lebih 2.24 juta kes setakat 6 petang Khamis, dengan lebih 1.48 juta kes pulih dan sekurang-kurangnya 754,810 sedang dirawat, menurut data itu. Angka kes demam harian kekal di bawah 300,000 untuk hari keempat selepas mencecah 392,920 pada Ahad.

Khamis lalu, Korea Utara melaporkan kes pertama COVID-19 selepas mendakwa bebas koronavirus selama lebih dua tahun dan mengisytiharkan pelaksanaan sistem kawalan virus “kecemasan maksimum”. – Bernama