Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Kes COVID menurun, Pusat Swab Insani ditutup

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Sebanyak 281 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan pada hari ini, iaitu 269 kes hasil ujian ART dan 12 kes hasil daripada 456 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Dengan itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini adalah 138,811 kes.

    Perkara demikian telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Menurut Yang Berhormat Dato, terdapat dua kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).

    “Manakala tiga kes berada dalam kategori 4 iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menjelaskan bahawa sebanyak 110 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes sembuh kepada 136,183 kes.

    “Jumlah kes aktif pula adalah sebanyak 2,413 kes iaitu 49 kes sedang dirawat di hospital manakala 2,364 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” kongsinya lagi.

    Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato juga memaklumkan, disebabkan semua pusat vaksinasi tidak beroperasi kelmarin, statistik terkini program vaksinasi kekal seperti yang dinyatakan di dalam sidang media kelmarin iaitu 13.2 peratus kanak-kanak di dalam kumpulan umur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos pertama vaksinasi COVID-19 manakala 62.2 peratus rakyat dan penduduk negara ini telah menerima tiga dos vaksin.

    Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai berikutan pengurangan jumlah kes harian dan keperluan mendapatkan ujian swab RT-PCR, Pusat Swab di Pusat Insani, Seria telah ditutup bermula Sabtu, 9 April.

    Orang ramai di Daerah Belait yang perlu mendapatkan ujian swab RT-PCR boleh mendapatkannya di Pusat SARI, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait atau mana-mana klinik kesihatan swasta yang telah diberikan kelulusan untuk melakukan ujian tersebut,” tambah beliau.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai memohon keampunan dan hidayah daripada Allah SWT dan terus memanjatkan doa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa diberikan keafiatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...