Kes curi ditangguh 28 Julai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Mahkamah Majistret kelmarin mengarahkan pihak polis untuk melengkapkan penyiasatan terhadap satu kes curi sebelum pihak pendakwaan dapat melanjutkannya.

Walau bagaimanapun pihak pendakwaan telah mengusulkan pertuduhan terhadap Romei bin Abdul Rahman yang didakwa memiliki kabel bawah tanah yang dicuri dari kawasan terbuka di Jalan Binglu Tengah, Kampung Tanah Jambu antara bulan Januari dan Jun lalu.

Pertuduhan tersebut menyatakan bahawa tertuduh telah melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada kabel bawah tanah apabila dia memotong kira-kira 15 meter daripadanya.

Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim menangguhkan kes sehingga 28 Julai untuk sebutan semula.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad.