Kes curi kabel didengar 11 Ogos

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Seorang lelaki yang didakwa mencuri kabel bawah tanah dari kawasan terbuka dekat Substesen 22 Jalan Binglu Tengah, Kampung Tanah Jambu antara Januari dan Jun mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Majistret, hari ini.

Romei bin Abdul Rahman yang turut mengaku mengambil dadah methylamphetamine pada 16 Januari 2013 bagaimanapun menafikan tuduhan memiliki lebih 9 gram nimetazepam serta lebih 4 gram methylamphetamine.

Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof akan menetapkan hukuman atas dua tuduhan terhadap defendan setelah perbicaraan berhubung dua tuduhan penyalahgunaan dadah diselesaikan.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos untuk tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Mohammad.