Kes curi: Mahkamah kekal keputusan batal jaminan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Mahkamah Tinggi pada 24 Mei lalu telah mengekalkan keputusan Mahkamah Perantaraan bagi membatalkan jaminan suspek kes curi yang dalam pembicaraan.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong, ketika menolak permohonan Shambri bin Haji Tunjul, berkata Mahkamah Perantaraan berhak membatalkan jaminan Shambri bagi melindungi orang ramai daripada ancaman yang boleh dilakukan oleh defendan sekiranya tidak direman.

Ketua hakim negara juga berkata hasrat Shambri untuk meminta ikat jamin bagi membantu keluarganya telah ditolak.

Pendakwa, Aeny Zullizam, memberi respons bagi pihak pendakwa raya dalam permohonan itu, mendedahkan bahawa Shambri menafikan melakukan dua pertuduhan curi dan satu dakwaan menceroboh pada 25 Mei 2019 semasa dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Antara syarat ikat jamin yang dikenakan termasuk ‘tidak ditahan atau melakukan kesalahan lain’.

Perbicaraan bermula pada 9 November 2020 tetapi tergendala disebabkan Shambri jatuh sakit dan penularan pandemik yang berlaku.

Mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan dan akan disambung semula pada 25 Julai 2022 depan.

Sebelum tarikh perbicaraan disambung semula, Shambri ditahan pada 28 Disember 2021 oleh polis kerana disyaki melakukan kesalahan mencuri.

Dia kemudiannya didakwa sekali lagi di mahkamah dengan satu lagi kesalahan mencuri.

Ini membawa kepada permohonannya di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Perantaraan.