Kes demam khinzir Afrika: Tembak bila nampak

SEOUL, 4 OKT – Tentera Korea Selatan telah mengeluarkan arahan tembak bila nampak khinzir hutan yang melintasi Zon Bebas Tentera (DMZ) kepada pasukan keselamatan yang mengawal kawasan sempadan sebagai sebahagian usaha mengekang penularan demam khinzir Afrika, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber kerajaan pada hari ini.

Langkah itu diambil selepas virus penyakit berjangkit haiwan itu dikesan pada bangkai seekor khinzir hutan di dalam kawasan DMZ, kira-kira 1.4 kilometer di utara sempadan selatan DMZ pada awal minggu ini.

Sejumlah 13 kes demam khinzir Afrika telah disahkan setakat ini sejak penularan pertamanya di negara itu dikesan bulan lepas.

“Bagi mengelak pertembungan yang tidak disengajakan dengan pihak Korea Utara disebabkan tembakan kami, kami juga telah memaklumkan mereka mengenai keputusan kami,” kata sumber itu. Demam khinzir Afrika tidak menjejaskan manusia namun ia amat berbahaya kepada khinzir.

Pada masa ini tiada vaksin atau penawar bagi penyakit itu. Sejak ia menular di China pada Ogos tahun lepas, penyakit itu telah merebak ke negara jiran termasuk Mongolia dan Vietnam.

Penularan wabak itu di Korea Selatan berlaku kira-kira empat bulan selepas Korea Utara melaporkan kes pertamanya di sebuah ladang ternak berhampiran sempadannya dengan China kepada Pertubuhan Dunia bagi Kesihatan Haiwan. – Bernama