Kes denggi di Labuan menurun

LABUAN, 18 JUN – Jumlah kes denggi di sini dari Januari hingga kini menurun kepada hanya lima kes berbanding 22 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, penurunan drastik itu adalah hasil tindakan bersepadu oleh pelbagai jawatankuasa kampung, masyarakat dan individu.

“Kita mencatat rekod terendah setakat ini, dengan sifar kematian atau wabak. Sebanyak 102 kes dicatatkan pada 2018 dengan 12 wabak dan jumlah itu menurun kepada 36 kes dengan satu wabak pada 2019,” katanya kepada Bernama hari ini.

“Kebelakangan ini kita menyaksikan kemunculan semula penyakit lama dan kemunculan penyakit baharu… menyebarkan penyakit dari satu lokasi ke lokasi lain dan ia sangat sukar untuk dihalang, ini sekali gus mempengaruhi sosioekonomi dan kadang-kadang memberi kesan negatif terhadap mana-mana populasi.

“Bagi menghadapi cabaran ini, tanggungjawab, tugas untuk menghalang dan mengawal penjagaan kesihatan memerlukan perubahan menyeluruh supaya ia lebih berkesan, cekap dan menumpukan kepada permasalahan utama atau isu yang perlu ditangani secara kolektif dan komprehensif.

Dr Ismuni yang juga doktor kesihatan awam Kementerian Kesihatan Malaysia mengatakan di Malaysia, denggi adalah antara penyakit ber-jangkit yang memberi kesan terhadap kesihatan awam. – Bernama