Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kes denggi, HFMD di Malaysia meningkat

    PUTRAJAYA, 5 MEI – Kes denggi dalam negara dilaporkan meningkat daripada 967 kes pada Minggu Epid (ME) 16/2022 kepada 1,021 kes pada ME 17/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata peningkatan sebanyak 54 kes atau 5.6 peratus itu direkodkan antara 24 hingga 30 April lepas (ME 17/2022), menjadikan jumlah kumulatif kes denggi setakat ini adalah 12,942 kes, berbanding 9,270 kes bagi tempoh sama pada 2021.

    “Jumlah kumulatif kematian akibat denggi hingga ME 17/2022 adalah tujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terdapat peningkatan ketara kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam negara, dengan 22,463 kes dilaporkan di seluruh negara hingga ME 17/2022.

    Beliau berkata angka tersebut menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda berbanding ME sama pada 2021 iaitu hanya mencatatkan 1,752 kes sahaja.

    Dr Noor Hisham berkata HFMD secara majoriti menjangkiti kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu dengan 21,508 kes, diikuti 729 kes melibatkan kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun.

    HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71), yang menular menerusi sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...