NEW DELHI, 26 MEI – Jumlah COVID-19 di India sudah melepasi 27 juta hari ini, iaitu 27,157,795 dengan 208,921 kes baharu direkodkan, kata Kementerian Kesihatan.
Seramai 4,157 orang meninggal dunia sejak pagi kelmarin menjadikan jumlah korban 311,388.
Jumlah kes aktif harian menyaksikan penurunan sejak beberapa hari kebelakangan ini, setakat ini kes aktif ialah sebanyak 2,495,591. Seramai 24,350,816 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital.
India memulakan program suntikan vaksin COVID-19 pada 16 Januari lalu dan sehingga kini sebanyak 200,662,456 dos sudah diberikan. Kelmarin sahaja sebanyak 2,039,087 dos vaksin disuntik.
Fasa ketiga suntikan vaksin sedang dilaksana di seluruh negara membabitkan penduduk berusia 18 tahun ke atas namun, usaha itu berdepan masalah kekurangan vaksin. – Bernama