‘Kes di India mungkin lebih 1.5 Juta’

NEW DELHI, 29 JULAI – Jangkitan koronavirus di India kini melepasi 1.5 juta dan kematian hampir mencecah 35,000 hari ini, tetapi hasil ujian di Mumbai menimbulkan keraguan terhadap data rasmi sebenar di negara kedua terpadat di dunia itu.

Walaupun jumlah kes melonjak dan semakin banyak kawasan telah dikenakan sekatan perjalanan, Perdana Menteri Narendra Modi mengatakan minggu ini India berada dalam ‘kedudukan yang lebih baik dari negara lain’ dan mendapat pujian antarabangsa.

Bagaimanapun menurut kajian suruhanjaya bandar yang dikeluarkan semalam, lebih separuh penduduk Mumbai di penempatan setinggan dijangkiti COVID-19, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu mengenai jumlah rasmi jangkitan di India.

India kini adalah negara ketiga paling teruk dilanda COVID-19 selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil, dengan hampir 1.5 juta kes walaupun pakar sebelum ini mengatakan jumlah sebenar kes jauh lebih tinggi berikutan bilangan ujian yang terhad.

Ujian darah secara rawak ke atas 6,936 pesakit oleh pihak berkuasa Mumbai mendapati 57 peratus penduduk di penempatan setinggan sudah dijangkiti dan kira-kira 16 peratus penduduk tidak dijangkiti mempunyai antibodi virus itu.

Mumbai, di mana 40 peratus penduduk mendiami kawasan pandemik, melaporkan lebih 110,000 kes dan lebih 6,000 kematian setakat ini.

Bandar di barat India dengan 20 juta penduduk itu turut menempatkan kawasan setinggan terbesar India, Dharavi, di mana terdapat sekitar sejuta penghuni.

Bagaimanapun, tidak banyak kematian dilaporkan di kawasan luas didiami penduduk miskin itu kerana mengikut dakwaan pegawai tempatan, usaha agresif mereka membendung penyebaran virus membuahkan hasil. – AFP

Anggota perubatan ketika menyusun ubat-ubatan di pusat pengambilan sampel koronavirus di Mumbai, kelmarin. Jangkitan koronavirus di India melepasi 1.5 juta tetapi hasil ujian di Mumbai mendapati ia mungkin lebih tinggi daripada data rasmi sebenar. – AFP