Kes di Indonesia terus meningkat

JAKARTA, 26 JULAI – Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 98,778 kes iaitu tambahan 1,492 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Mengikut data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 55,647 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19. Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 67 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini 4,781 orang.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 20,539 kes, diikuti Jakarta (19,125) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,589 orang, diikuti Jakarta (759), Jawa Tengah (564), Sulawesi Selatan (302) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama