Kes gagal patuhi arahan ditangguhkan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, telah menangguhkan kes seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang didakwa gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Penyakit-penyakit Berjangkit.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman telah menetapkan 26 Jun bagi pendengaran lanjut kes berkenaan.

Jimy Aizal bin Haji Razali sebelumnya telah mengaku tidak bersalah ke atas dakwaan mengenai kegagalannya untuk melaporkan diri ke Kementerian Kesihatan seperti yang diarahkan, selepas menghadiri satu perhimpunan keagamaan di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, Malaysia antara 28 Februari hingga 3 Mac 2020.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.