Kes gastroenteritis dalam kalangan kanak-kanak meningkat

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Sebanyak 727 kes gastroenteritis telah dilaporkan dan kebanyakannya di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah berbanding dengan 605 kes yang dilaporkan untuk jangka masa yang sama pada tahun lepas.

Statistik itu didedahkan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada Majlis Perasmian Sesi Pemberigaan Perintah Daging Segar 2011, (Pindaan) 2020 dan Peraturannya, dan Akta Kesihatan Awam (Makanan), (Penggal 182) (Pindaan) 2020, hari ini.

Menurutnya, gastroenteritis disebabkan jangkitan sama ada daripada virus, bakteria, atau protozoa di perut dan usus, yang menyebabkan cirit-birit, muntah, sakit perut dan demam.
Ia juga boleh merebak melalui makanan atau minuman yang tidak dikendalikan dengan betul seperti penyimpanan pada suhu yang sesuai untuk bakteria membiak atau penggunaan bahan mentah yang telah dicemari oleh kuman pseperti Salmonella, Escherichia coli, Campylobacter dan yang seumpamanya.

Oleh itu amat penting bagi orang yang terlibat dalam proses daging segar yang dihasilkan di rumah penyembelihan, proses termasuk pelabelan dan pengangkutan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi menghindarkan dari sebarang pencemaran dan menjaga kualiti daging segar, tambah Yang Berhormat Dato.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan itu dianjurkan oleh Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA).

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika melawat salah sebuah petak pameran pada majlis tersebut.

Selain itu, Yang Ber-hormat Menteri Kesihatan turut mengingatkan orang ramai untuk mengambil perhatian dan iktibar daripada kejadian seperti ini dan berusaha untuk meningkatkan keselamatan makanan.

Ini termasuklah mengenai tatacara pengendalian daging segar yang betul dari selepas penyembelihan sehingga ke premis jualan, seperti yang dinyatakan dalam akta dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Dalam usaha mencegah sebarang pencemaran seperti kuman penyebab keracunan makanan, tegas beliau, perlunya bersikap peka dan proaktif terutamanya bagi pihak-pihak yang terlibat di setiap peringkat rangkaian pembekalan daging segar.

Ini merangkumi proses penyembelihan binatang, pembersihan, pengendaliannya, suhu penyimpanan dalam stor sejuk beku, suhu dalam trak pengangkutan yang digunakan untuk pengedaran dan suhu di rak pameran di pasar raya, pasar daging dan sebagainya.

Dalam hubungan ini, pihak BDFA memainkan peranan untuk memastikan daging segar yang dijual di pasaran tempatan adalah selamat untuk dimakan dan bahan mentah yang digunakan oleh premis makanan adalah bersumber dari pusat penyembelihan yang diperiksa dan dipantau mengikut peruntukan dalam akta dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Sesi pemberigaan tersebut merupakan titik permulaan bagi perlaksanaan akta dan perintah yang akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberikan tempoh pelaksanaan agar syarikat dan perusahaan daging mentah tempatan dapat membuat persediaan untuk memenuhi keperluan akta dan peraturan tersebut.

Pelaksanaan adalah mengikut fasa dan keutamaan berasaskan kepada kapasiti pengeluaran pusat penyembelihan yang mana tempoh Fasa 1 adalah sehingga 28 Februari 2022.

Manakala Fasa 2 akan diberi tempoh selama sembilan bulan iaitu sehingga 31 Mei 2022 dan Fasa 3 akan diberikan tempoh selama 12 bulan iaitu sehingga 31 Ogos 2022.

Setelah tempoh pelaksanaan berakhir pada setiap fasa tersebut, mana–mana syarikat atau perusahaan yang didapati tidak mematuhi peruntukan di bawah Perintah Daging Segar 2011, (Pindaan) 2020 dan peraturan yang berkaitan, adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan kompaun sebanyak $1,000 menurut Bab 36, Perintah Daging Segar 2011, (Pindaan 2020) dan jika gagal membayar denda tersebut, pemilik syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah.