Kes harian bawah 200 di Sarawak

KUCHING, 22 NOV – Untuk kali pertama dalam tempoh lebih 10 bulan, Sarawak merekodkan jumlah kes harian baharu COVID-19 di bawah 200, apabila sebanyak 147 kes baharu dicatatkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, bahagian Kuching merekodkan 46 kes baharu, diikuti dengan Limbang (20 kes), Miri (19 kes), Lawas (14 kes), Bintulu dan Sibu masing-masing (13 kes), manakala 12 lagi bahagia merekodkan kes di antara satu hingga lima kes.

Daripada jumlah kes baharu yang direkodkan hari ini, dua kes sahaja yang mengalami jangkitan paru-paru dan bantuan pernafasan, manakala 145 kes lagi adalah mereka yang bergejala ringan dan tidak bergejala.

Untuk rekod, kes harian jangkitan COVID-19 di Sarawak mulai menunjukkan penurunan sejak Oktober, apabila suntikan dos ketiga dan dos penggalak mula diberikan. – Bernama