Kes harian meningkat, M’sia laksana PKP

KUALA LUMPUR, 5 MEI – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PKP dilaksanakan susulan kes baharu COVID-19 harian Malaysia meningkat kepada 3,744 kes daripada 3,120 kes semalam, menjadikan kes kumulatif COVID-19 kini 424,376.

Ismail Sabri berkata PKP di Kuala Lumpur dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat.

“Setelah meneliti pembentangan serta cadangan daripada KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur hingga 20 Mei dengan SOP sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKP di kesemua kawasan itu adalah bagi memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal selain memudahkan pelaksanaan ujian saringan besar-besaran. Dalam pada itu, berdasarkan situasi semasa ketika ini, kerajaan juga bersetuju untuk tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan, swasta serta majlis sosial di semua kawasan PKP termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan hari ulang tahun, pertemuan semula (reunion), retreat dan lain-lain majlis sosial. – Bernama

Orang ramai membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam, kelmarin. Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak membenarkan operasi bazar Ramadan di enam daerah yang dikenakan PKP bermula Sabtu ini.