Kes harian tertinggi amaran buat penduduk Sarawak

KUCHING, 9 APRIL – Jumlah kes harian baharu COVID-19 yang tertinggi pernah dicatatkan di Sarawak hari ini, perlu dilihat sebagai satu amaran buat penduduk di negeri itu untuk kekal berjaga-jaga dalam mendepani wabak tersebut, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata usaha untuk menurunkan jumlah kes positif juga akan gagal selagi rakyat tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Hari ini kita menyaksikan kes tertinggi pernah dicatatkan semenjak wabak ini melanda Sarawak, ini adalah satu angka yang patut menjadi amaran buat penduduk di negeri ini.

“Peningkatan kes ini akan membawa implikasi besar kerana rakyat Sarawak tidak akan dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Sarawak hari ini merekodkan kes harian baharu COVID-19 tertinggi iaitu 555 kes positif dengan tiga kematian baharu.

Sementara itu, Uggah berkata JPBN juga bersetuju untuk membenarkan program pengimarahan Ramadan di masjid dan surau diadakan tertakluk kepada SOP yang telah dikeluarkan pada 1 April lepas.

Keputusan itu dibuat selepas JPBN meneliti dan menimbang SOP daripada Majlis Islam Sarawak.

Selain itu, Uggah berkata sehingga hari ini seramai 1,845 orang guru telah menerima suntikan pertama dos vaksin COVID-19 di Sarawak. – Bernama