MIAMI, 12 Mei – Bilangan jangkitan Hepatitis C meningkat hampir tiga kali ganda di Amerika Syarikat sejak lima tahun lalu terutama dalam kalangan penduduk berusia 20-an, kata penyelidik semalam.
Virus bawaan darah itu dipindahkan menerusi penggunaan dadah suntikan, jarum kotor, pemindahan darah dan seks. Jangkitan kronik boleh membawa kepada cirrhosis atau barah hati.
Hepatitis C adalah pembunuh penyakit berjangkit utama di negara itu, meragut hampir 20,000 nyawa pada 2015, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Pakar berkata, peningkatan wabak itu, dengan pertambahan bilangan individu berkongsi jarum untuk menyuntik heroin dan pengambilan pil penahan sakit, mendorong peningkatan kes itu.
“Jangkitan virus Hepatitis C baru meningkat pada kadar pantas dalam kalangan penduduk muda, dengan bilangan keseluruhan tertinggi jangkitan baru dalam kalangan individu berusia 20 hingga 29 tahun.
“Ini terutamanya adalah hasil penggunaan dadah suntikan yang dikaitkan dengan peningkatan wabak itu di AS,” menurut kenyataan CDC.
Pesakit Hepatitis C selalunya tidak menunjukkan simptom yang menyebabkan mereka tidak menyedari jangkitan itu.
Bagaimanapun, ini ‘tidak menggambarkan skala sebenar. CDC menganggarkan kira-kira 34,000 jangkitan baru hepatitis C sebenarnya berlaku di AS pada 2015,” kata kenyataan itu. – AFP