Kes hepatitis di Brunei menurun

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Jumlah kes baru hepatitis di Brunei Darussalam telah merosot dengan mendadak.

Menurut kajian yang dijalan-kan di dalam negara, kes jangkitan hepatitis B dalam kalangan penderma darah telah merosot daripada 4 ke 6 peratus pada akhir 1980 kepada kira-kira 0.9 peratus pada pertengahan tahun 2000.

Kemerosotan ini berjaya dicatat menerusi Program Lanjutan Pelalian (EPI) yang ditawarkan sejak 1984 di mana perlindungan pelalian untuk hepatitis B adalah mandatori untuk semua anak yang baru lahir. Pemeriksaan menerusi kesihatan perubatan, ujian antenatal serta pemeriksaan penderma darah juga mengawal pertambahan kes hepatitis B.

Begitu juga, jumlah orang di Brunei Darussalam yang dijangkiti hepatitis C juga merosot, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari Hepatitis Sedunia yang membawa tema ‘Hapuskan Hepatitis’.

Terdahulu itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pada akhir tahun 2015, terdapat kira-kira 325 juta orang menghidapi hepatitis kronik di seluruh dunia, kira-kira 257 juta orang menghidapi jangkitan hepatitis B dan 71 juta orang menghidapi jangkitan hepatitis C.

Itulah sebabnya kenapa tema tahun ini meminta setiap individu supaya membabitkan diri untuk ‘Hapuskan Hepatitis’, jelasnya.

Pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-69 di Geneva, tambahnya lagi, 194 kerajaan termasuk Brunei Darussalam menerima Strategi Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai virus hepatitis yang mana strategi ini termasuk matlamat untuk menghapus hepatitis B dan C menjelang 2030.

Menteri Kesihatan menjelaskan, Hepatitis adalah keradangan hati yang mana keadaan tersebut boleh bersifat swamengehad ataupun boleh beransur-ansur berubah kepada fibrosis, cirrhosis atau barah hati.

Punca paling umum hepatitis di dunia adalah disebabkan virus. Terdapat beberapa jenis virus hepatitis yang berlainan, bagaimanapun hepatitis B dan C menimbulkan kebimbangan terbesar disebabkan bebanan penyakit dan kematian serta potensi wabak dan epidemik merebak.

Hepatitis B dan C boleh membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca paling umum cirrhosis hati dan barah di seluruh dunia. Oleh yang demikian, kesedaran, pencegahan dan rawatan yang wajar adalah penting.

Hepatitis B dan C biasanya merebak daripada pendedahan kepada darah yang dijangkiti dan bendalir tubuh badan lain. Ia boleh berlaku daripada ibu-kepada-anak ketika lahir, menerusi jangkitan seksual, atau menerusi penggunaan dadah intravena.

Dalam kes biasa jangkitan hepatitis, biasanya ia mengambil masa beberapa tahun sebelum timbulnya sebarang tanda-tanda kerosakan hati. Penyakit itu tidak mempunyai penawar namun rawatan boleh mengubah jangkitan agresif kepada tidak serius menerusi kawalan virus dalam tubuh badan dan mencegah komplikasi seperti cirrhosis dan barah hati.

Yang Berhormat Dato seterusnya menekankan, sementara kemerosotan kes hepatitis baru di Brunei dialu-alukan, semua orang perlu memastikan bahawa ia boleh dikekalkan.

Hepatitis B dan C adalah penyakit yang amat mudah merebak, oleh itu setiap individu perlu memainkan peranan untuk melindungi diri dan mengurangkan risiko mereka daripada dijangkiti penyakit berkenaan.

Beliau telah mengongsikan beberapa langkah untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit tersebut, antaranya elakkan mempunyai berbilang pasangan seksual, elak mengadakan persetubuhan seksual tanpa dilindungi, jangan mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan melainkan pasangan dipastikan tidak dijangkiti hepatitis B atau mana-mana jangkitan seksual lain.

Selain itu, berhenti menggunakan dadah, yang mana jika menggunakan dadah, dapatkan bantuan supaya berhenti dan bersikap was-was mengenai akupuntur, bekam, tindik dan tatu badan.

“Jika anda merancang untuk mendapatkan rawatan akupuntur, bekam, tindik atau tatu, cari pusat yang boleh dipercayai. Pastikan mereka menggunakan peralatan yang telah disteril.”

Di samping itu, dapatkan pelalian hepatitis B, yang mana jika berkunjung ke kawasan di mana hepatitis biasa berlaku, minta doktor untuk memberikan suntikan vaksin hepatitis B terlebih dahulu, ia biasanya diberikan dalam siri tiga suntikan dalam tempoh enam bulan.

Dalam perutusannya itu, Menteri Kesihatan turut menyatakan bahawa aktiviti kementeriannya untuk menghapuskan hepatitis adalah selaras dengan dasar strategiknya iaitu mempromosi agenda ‘Kesihatan adalah tanggungjawab semua’, mempertingkat kualiti perkhidmatan dan mencegah serta mengawal penyakit tidak berjangkit.

“Pada Hari Hepatitis Sedunia ini, marilah kita semua memainkan peranan untuk menghapuskan Hepatitis dan berusaha untuk menjadikan Brunei bebas daripada hepatitis,” ujarnya mengakhiri perutusan.